Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


HANYA suka-suka. Itu motif remaja yang diburu polis susulan rakaman video menunjukkan tindakan kejamnya menembak monyet yang tular sejak beberapa hari lalu.

Dalam kejadian antara 10 hingga 11 pagi pada 18 Mei lalu, remaja lelaki berusia 18 tahun itu menembak monyet liar dengan satu das tembakan sebelum membuang bangkai haiwan itu ke dalam sungai di Bota.

Difahamkan, kejadian itu berlaku di Lambor Kiri, Bota dan turut ditahan bapa suspek berusia 54 tahun yang juga pemilik senjata api berkenaan.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata, dua beranak berkenaan ditahan di rumah mereka di Taman Kenangan, Sitiawan pada 9.20 malam tadi.

Katanya, penahanan itu turut membawa kepada rampasan sepucuk pistol warna hitam jenis Glock 42, sarung pistol, 12 peluru dan lesen pemilikan senjata api yang tamat tempoh 28 Jun ini.

“Siasatan awal, remaja yang tidak bekerja itu mengaku mengambil pistol milik bapanya ketika lelaki itu sedang tidur di dalam pondok di kebun pisang mereka pada hari kejadian.


Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain menunjukkan pistol yang digunakan remaja yang menembak kepala monyet. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

“Dia juga mendakwa melakukannya (tembak monyet) kerana suka-suka dan mendakwa monyet itu ditangkap di kebun kerana merosakkan hasil tanaman, sebelum menembaknya dengan satu das tembakan.

“Bapa suspek pula memaklumkan pelaku dalam video yang tular itu seakan anaknya dan polis akan ke lokasi kejadian untuk meneruskan siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, hari ini.

Razarudin berkata, suspek bapanya yang juga peniaga direman selama empat hari sehingga Ahad untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

“Ini adalah kejadian pertama dilakukan suspek dan kita juga belum dapat pastikan sama ada remaja itu mempunyai masalah mental atau tidak. Siasatan lanjut masih dilakukan.

“Sehubungan itu, pemegang lesen senjata api dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam memastikan keselamatan senjata itu dan meletakkannya di tempat yang lebih selamat, supaya tidak boleh diambil oleh anak.

“Dalam kes ini, si bapa mengaku tidak tahu senjata api itu diambil anaknya. Kejadian ini tidak seharusnya berlaku kerana bukan sahaja membabitkan kesalahan menggunakan senjata api, malah penganiayaan terhadap haiwan,” katanya.

Berita berkaitan

Lelaki tembak monyet ditahan

Lelaki tembak monyet diburu polis, PERHILITAN

[UPDATE] Penembak monyet tinggal di Sitiawan?

Polis siasat kejadian tembak monyet

Belum dapat maklumat jelas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 11:23 AM