Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


POLIS sudah menerima satu laporan berhubungan rakaman video yang tular di media sosial memaparkan tindakan kejam seorang lelaki tempatan menembak kepala monyet menggunakan pistol.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad berkata, laporan itu dibuat 1.21 pagi semalam.

Katanya, susulan itu polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan (KK).

“Menerusi Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960, kes disiasat kerana penggunaan senjata api di tempat yang tidak dibenarkan.

“Seksyen 428 KK pula digunakan kerana melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Asmawati, siasatan lanjut bagi mengenal pasti dan mengesan suspek sedang dijalankan.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerusi ciapan di Twitter memaklumkan agensi itu menjalankan satu siasatan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) atas tindakan zalim terhadap haiwan liar berkenaan.

Katanya, PERHILITAN kini sedang menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan video berkenaan dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi agensi itu dengan kadar segera bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, rakaman video berdurasi 20 saat itu tular di media sosial sejak dua hari lalu.

Rakaman berkenaan memaparkan tindakan lelaki meminta haiwan itu menyebut perkataan ‘baby sayang’.

Lelaki berkenaan kemudian melepaskan satu das tembakan di kepala yang mengenai kepala haiwan berkenaan selepas kiraan tiga.

Berita berkaitan

[UPDATE] Penembak monyet tinggal di Sitiawan?

Polis siasat kejadian tembak monyet

Belum dapat maklumat jelas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 1:14 AM