SUASANA Balairung Seri, terletaknya Jenazah Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah di Istana Abu Bakar Pekan. FOTO Bernama
BERNAMA

SUASANA sayu dan suram menyelubungi Istana Abu Bakar di Pekan malam ini apabila jenazah Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dibawa masuk ke persada yang terletak di tengah Balairung Seri.

Jenazah Almarhum dibawa masuk pada 9.20 malam oleh pasukan Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diikuti 18 jejawat.

Turut berada di Balairung Seri ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; anakanda Almarhum, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman dan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah serta bonda baginda, Sultanah Kalsom.

Kira-kira 200 hadirin terdiri daripada kaum kerabat, orang kenamaan dan pembesar negeri Pahang kemudiannya menunaikan solat jenazah yang diimamkan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman di Balairung Seri.


Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah bersama Hajah Kalsom ketika melihat Jenazah Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah sdi Balairung Seri, Istana Abu Bakar Pekan. Turut berangkat Tengku Abdul Rahman. FOTO Bernama

Rakyat jelata mula kelihatan memasuki Balairung Seri bermula 10.30 malam ini, untuk menziarahi dan memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah yang juga Sultan Pahang kelima.

Mereka yang datang secara berkumpulan dilihat mengambil giliran untuk masuk ke dalam Balairung Seri dan rakyat beragama Islam melakukan solat jenazah dalam kumpulan kecil dan berdoa.

Ayat suci al-Quran dibacakan kira-kira 100 pelajar tahfiz dari sekitar Kuantan dan Pekan.

Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 8.50 pagi hari ini.

Jenazah Almarhum tiba di Pangkalan Udara Kuantan pada 7.25 petang dengan menaiki pesawat khas sebelum dibawa ke Istana Abu Bakar dengan diiringi oleh tujuh buah motosikal PDRM.

Tunku Azizah turut mengiringi perjalanan jenazah dari Istana Negara ke Istana Abu Bakar.

  • Lagi berita berkaitan Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 12:22 AM