Amir Mamat
cnews@nstp.com.my


MELAKA berkemungkinan besar akan berhadapan dengan krisis bekalan air jika taburan hujan di kawasan tadahan di negeri ini terus berkurangan sehingga 15 Jun ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, keadaan itu bakal menyebabkan kapasiti air di tiga empangan di negeri ini kekal merosot, sekali gus memaksa catuan bekalan air terpaksa dilakukan ke atas pengguna.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah berkenaan, pihaknya mengambil beberapa langkah bagi mengatasi kekurangan bekalan air di negeri ini khususnya ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Pertama, kita akan mempergiatkan kempen dan usaha penjimatan air dalam semua sektor, diikuti membuat pembelian tambahan bekalan air mentah dari Sungai Gerisik, Muar serta memindahkan bekalan air dari Empangan Jus ke Empangan Durian Tunggal.

“Jika ketiga-tiga pelan kontigensi itu tidak berhasil, ditambah pula ketiadaan hujan sehingga 15 Jun ini, terpaksa kita membuat catuan dari segi tekanan air terhadap pengguna,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Seri Negeri, hari ini.

Sehingga hari ini, paras air di Empangan Durian Tunggal mencatatkan sebanyak 37.8 peratus, diikuti Empangan Jus (66.4 peratus) dan Empangan Asahan (62.5 peratus).

Adly berkata, kerajaan negeri belum berhasrat untuk mencatu sepenuhnya bekalan air kerana paras di semua empangan berkenaan masih belum berada pada tahap darurat.

“Sekiranya paras air di bawah 29 peratus, kita anggap sebagai darurat dan mungkin catuan air boleh dibuat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bermula Julai ini, kerajaan negeri menetapkan kerja pemotongan rumput di semua jalan negeri akan diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berbanding Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini.

“Menerusi peruntukan RM10 juta, kerja pemantauan akan lebih mudah, manakala masalah yang berbangkit selepas pemotongan rumput itu akan dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 5:36 PM