Antara barangan yang dirampas di Jalan Berapit, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


LELAKI bergelar ‘bird’ ditahan polis dalam serbuan berhampiran rumahnya di Jalan Berapit, Bukit Mertajam kelmarin.

Dalam serbuan 10 malam itu, lelaki berusia 35 tahun berkenaan ditahan anggota polis yang curiga melihat tingkah lakunya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan awal mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau bersabit kes dadah.

“Kita pada mulanya tidak menemui barang menyalahi undang-undang ketika membuat pemeriksaan terhadapnya.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut dalam peti surat berjaya menemui beg mengandungi enam paket syabu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, suspek tidak bekerja dan ujian air kencing terhadapnya mendapati dia positif methamphetamine.

“Suspek yang juga lebih dikenali sebagai ‘bird’ itu kini ditahan dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), 12(3) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 5:13 PM