FOTO Hiasan
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my


SEMBILAN pemancing berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki kehabisan minyak menyebabkan mereka terkandas dan dihanyutkan ombak kira-kira 10 jam ketika keluar memancing di perairan Indrasabah, dekat Tawau, petang semalam.

Difahamkan, semua mereka yang berumur antara 35 hingga 60 tahun itu keluar memancing di kawasan berkenaan pada 9 pagi.

Bagaimanapun, mereka bernasib baik apabila seorang pemancing berjaya menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau sebelum diselamatkan pada 7 malam.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi), Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.50 petang sebelum operasi mengesan bot pancing berkenaan dijalankan.


SEMBILAN kaki pancing diselamatkan Maritim Malaysia selepas bot mereka kehabisan minyak dan dihanyutkan ombak di perairan Indrasabah di Tawau. FOTO Ihsan APMM

Berikutan laporan itu katanya, bot peronda Banggi 13 diketuai Bintara Muda Maritim Kasman Kasim yang sedang membuat tugasan rondaan, digerakkan ke lokasi kejadian berdasarkan maklumat dan lokasi yang diperolehi.

“Tidak lama selepas itu, bot dinaiki sembilan pemancing itu berjaya dikesan dan mereka ditemui dalam keadaan selamat sebelum diiring ke jeti Yatch Club Tawau,” katanya dalam kenyataan, di Tawau, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai termasuk kaki pancing supaya membuat persediaan sewajarnya sebelum turun ke laut terutamanya pada musim monsun barat daya ketika ini.

“Sekiranya berhadapan situasi kecemasan atau melihat salah laku jenayah ketika berada di laut, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pusat Operasi, Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 9:35 AM