RIZQIN menyiapkan makanan yang bakal dihantar kepada pelanggan.
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Dengan duit hasil kerja penghantaran makanan inilah, saya mampu kumpul duit untuk tanggung perbelanjaan kahwin tahun lepas,” kata pekerja aplikasi tempahan makanan, GrabFood, Muazril Shamsudin.

Menurut Muazril, 29, tiada apa yang mustahil untuk dikecapi jika seseorang itu bijak menggunakan masa untuk menjana pendapatan selain bergantung pada pekerjaan hakiki.

Dia yang mendirikan rumah tangga Jun tahun lalu berkata, dia mampu meraih pendapatan sekitar RM3,000 sebulan atau RM500 hingga RM600 seminggu dengan melakukan pekerja GrabFood secara sepenuh masa sejak dua tahun lalu.

“Setiap hari, saya keluar seawal 8.30 pagi dan pulang pada jam 9 malam bekerja sebagai penghantar makanan GrabFood.

“Purata sehari saya sasarkan untuk dapatkan 15 trip perjalanan yang bersamaan upah antara RM130 ke RM150 bergantung kepada jarak dan waktu permintaan.

“Kalau dapat RM150, tolak kos makan minum, penyelenggaraan motosikal dan lain-lain, dapatlah untung bersih RM90 ke RM100 sehari,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Seorang lagi penunggang GrabFood, Rizqin Nawi, 22, yang memiliki Diploma Kejuruteraan Mekanikal berkata, dia gembira dengan kerjanya itu walaupun mempunyai pilihan bekerja dengan gaji bersesuaian dengan kelulusan akademik dimiliki.

“Saya tidak perlu malu kerja sebagai GrabFood malah lebih mudah kerana boleh menyusun masa sendiri dan menentukan gaji sendiri yang tiada had untuk diperoleh.

“Siapa rajin, dia dapat lebih pendapatan walaupun memanglah ada cabaran seperti risiko kemalangan, cuaca dan musim tertentu seperti bulan puasa ketika ini yang permintaan kurang sedikit,” katanya yang mampu meraih pendapatan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan sejak April tahun lalu.

Bagi Mohd Ilham Mulyadi, 23, dia melakukan GrabFood secara sepenuh masa jika tiada tugas sebagai kru pengurusan acara daripada majikannya.

“Takkanlah bila tiada kerja daripada majikan, saya hendak duduk diam dan biar masa terbuang begitu saja tanpa memberi pendapatan? Rugilah kalau duduk di Kuala Lumpur tapi tak manfaatkan banyak peluang kerja di depan mata.

“Purata 12 jam kerja sehari selama lima hari seminggu saya boleh dapat RM700 atau RM2,600 sebulan dan bagi saya itu agak lumayan kerana hanya bekerja sekitar 20 atau 21 hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 5:30 AM