FOTO Hiasan
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) menegaskan pengagihan zakat di negeri ini hanya bagi umat Islam dan tidak akan disalurkan kepada penganut agama lain.

Ia berikutan satu surat pekeliling dalaman organisasi itu yang kembali menjadi tular di media sosial sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Pekeliling yang tersebar sejak Disember tahun lalu itu berkaitan moto baharu yang membawa maksud LZS lebih dekat dengan masyarakat, sekali gus mengukuhkan manfaat zakat untuk semua.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, pekeliling dalaman itu hanya dikeluarkan untuk warga kerja lembaga berkenaan.

Menurutnya, skop pengagihan zakat diuruskan pihaknya berdasarkan kepada hukum syarak yang merangkumi lapan kategori asnaf seperti dijelaskan dalam surah At-Taubah ayat 60.

“Terdapat kekeliruan berkaitan moto baharu zakat yang diubah kepada ‘Manfaat Zakat Untuk Semua’ berbanding moto ‘Meneraju Perubahan’ sebelum ini.

“Moto itu membawa maksud luas yang menggambarkan bahawa ibadah zakat walaupun hanya dikhususkan kepada umat Islam, namun manfaatnya dinikmati semua ahli masyarakat dalam kitaran ekonomi dan sosial.

“Ia selaras dengan peranan zakat yang menyucikan dan menyuburkan,” katanya di Shah A;a,, hari ini.

Kata Abdul Basith, jika taraf kehidupan asnaf ditingkatkan, ia secara tidak langsung akan meningkatkan taraf sesebuah negeri atau negara.

“Jika maju dan makmurnya sesebuah negeri atau negara, setiap rakyat akan menerima manfaatnya secara bersama.

“Sebagai contoh, jika seorang mahasiswa asnaf yang dibiayai wang zakat dalam bidang perubatan sehingga berjaya menjadi seorang doktor pakar, manfaatnya dapat dinikmati semua pesakit tanpa mengira status, bangsa atau agama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa LZS tiada mempunyai kaitan atau dipengaruhi mana-mana pihak termasuk parti politik dan akan terus menyantuni asnaf bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.

“LZS juga sentiasa mematuhi Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Peraturan-Peraturan Zakat Dan Fitrah (Negeri Selangor) 2012 dalam melaksanakan operasi agihan dan kutipan zakat.

“Agihan dan kutipan zakat di negeri ini sentiasa mengikut hukum syarak dan dipantau rapi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selain dikawal selia jawatankuasa yang dilantik termasuk Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 1:33 PM