Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


PENDANG: Seorang lelaki yang dipercayai aktif dalam kes curi motosikal di daerah ini dengan menyasarkan motosikal Honda EX5 dan Honda Wave ditahan polis pada 13 Mei lalu.

Lelaki berusia 20-an itu yang juga ahli Geng Pit Sym itu ditahan di rumahnya di daerah ini jam 10 pagi dalam satu operasi yang dilakukan berdasarkan maklumat dan risikan dilakukan berkaitan kes kecurian motosikal.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainudin Yaacob berkata, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan dianggotai dua lelaki tempatan termasuk suspek manakala seorang lagi rakannya masih bebas.

Menurutnya, modus operandi dilakukan kumpulan ini adalah menggunakan sejenis pemutar skru yang diubah suai dan digunakan untuk mencuri motosikal.

“Alat khas itu boleh merosakkan kunci utama motosikal sebelum suspek melarikan motosikal itu ke satu tempat untuk dileraikan, diambil komponennya dan dijual bagi mendapatkan wang mudah, manakala rangka motosikal itu dibuang.

“Hasil penahanan itu, suspek membawa polis bagi menunjukkan lokasi sungai di Kampung Batu 15, Relong, Mukim Bukit Raya iaitu tempat dia membuang rangka motosikal dicurinya ke dalam sungai berkenaan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid dan Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah.

Zainudin berkata, pihaknya menemui 24 rangka motosikal pelbagai jenis dalam sungai berkenaan yang dipercayai dicuri.


SUSPEK

Menurutnya, hasil semakan mendapati semua rangka motosikal berkenaan dilaporkan hilang di empat daerah iaitu di sekitar Alor Setar, Pendang, Yan dan Kuala Muda sejak 2011 dan ada juga dilaporkan hilang tahun ini.

Katanya, berdasarkan siasatan, suspek membawa motosikal curi itu ke rumahnya untuk dileraikan bagi mengambil komponen dan alat ganti untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Suspek yang ditahan mempunyai dua rekod kesalahan lampau dalam kes curi motosikal dan direman untuk membantu siasatan.

“Bagaimanapun, seorang lagi rakannya yang juga ahli kumpulan sindiket ini yang masih bebas dikenali sebagai Mohammad Badrol Amin Rahim berusia 19 tahun dikenali sebagai Boy@Bad Vincci dikehendaki polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Zainudin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 7:30 AM
ZAINUDDIN (tengah) menunjukkan sebahagian 24 rangka motosikal curi yang ditemui dalam sungai di Kampung Batu 15, Relong, Mukim Bukit Raya.