MENGIMARAHKAN setiap malam Ramadan di masjid dan surau berbeza.
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Mengimarahkan setiap malam Ramadan di masjid dan surau berbeza bukan suatu yang mudah, tetapi atas jemputan jemaah Dr Muhammad Lukman Ibrahim komited memenuhi tuntutan itu.

Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, bagi tahun ini beliau menerima jemputan untuk menjadi imam Tarawih daripada 25 masjid dan surau.

Menurutnya, jemputan itu bukan saja di sekitar Lembah Klang, malah ada di Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Johor serta negara jiran, Singapura.

“Saya mula terbabit menjadi imam di masjid berbeza pada Ramadan sejak tujuh tahun lalu sehingga kini.

“Jika diikutkan memang berkejar dengan masa, tetapi terpaksa menerima undangan mereka.

“Apabila ke Singapura dan Johor saya menaiki kapal terbang. Di tempat lain saya memandu kereta,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang mahir dalam ilmu dan seni bacaan al-Quran turut aktif sebagai panel dalam beberapa program televisyen dan radio, ceramah dan program umrah.

Ditanya bentuk bacaan dalam solat pula, katanya, bacaan murattal iaitu gaya bacaan yang agak cepat seperti dibaca oleh imam Masjidil Haram di Makkah.

“Jika dalam bentuk mujawwad iaitu seperti dalam musabaqah (majlis tilawah) yang agak lambat, jemaah boleh tertidur. Dalam solat kena baca cepat sedikit,” katanya.


DR Muhammad Lukman

Mengulas mengenai Nuzul al-Quran, beliau berkata, al-Quran yang turun pada Ramadan 1,400 tahun lalu tidak dinafikan sesuatu yang sudah lama.

“Apabila lama, kita sepatutnya bukan hanya tahu aspek sejarah saja, tetapi perlu ada semak dan imbang sama ada kehidupan kita hari ini selari dengan al-Quran,” katanya yang turut menegaskan asas paling benar adalah al-Quran.

Katanya, masalah dan kekecohan yang berlaku hari ini termasuk isu LGBT dan pemikiran liberal berpunca daripada kegagalan masyarakat memahami kitab suci itu.

“Jadi kita bermula daripada bacaan al-Quran. Itu langkah yang pertama, iaitu baca dengan lembut dan baik.

“Kemudian peringkat kedua, membawa kepada memahami kandungannya dan peringkat ketiga beramal dengannya. Punca haru-biru itu kerana tak beramal dengan al-Quran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 6:00 AM