ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran kereta dinaiki tiga beranak di Kilometer 379 LPT2, dekat Ajil, petang semalam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


TINDAKAN pantas tiga beranak termasuk kanak-kanak lelaki berusia dua tahun keluar daripada kereta yang tiba-tiba terbakar menyelamatkan nyawa mereka dalam kejadian di Kilometer 379, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Ajil, petang semalam.

Dalam kejadian 6.15 petang, Fadil Aslan A.Basir, 27, bersama isteri, Nor Fatini Mohd Sabri, 27, dan anak mereka, Faqih Marwan bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari kejadian itu.

Difahamkan, ketika kejadian, tiga beranak itu dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan untuk berbuka puasa.

Fadil Aslan yang menyedari kebakaran yang dipercayai bermula daripada bahagian enjin kereta Proton Iriz segera memberhentikan kenderaannya di tepi lebuh raya berkenaan lalu keluar bersama isteri dan anaknya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hulu Terengganu, Zuraidi Mohd Yusof berkata, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan mengenai kebakaran itu.

“Sebaik tiba di situ, api sedang membakar kereta berkenaan yang dipercayai berpunca akibat ‘Electrical Failed’.

“Kami mengambil masa selama 30 minit untuk memadam kebakaran itu.

“Kami bersyukur tiga beranak itu selamat dan tidak cedera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 1:54 AM