KEDUA-DUA kenderaan remuk selepas bertembung dalam kemalangan di Kilometer 36 (Lembah Bidong) Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, Setiu, pagi semalam. FOTO ihsan pembaca.
Nurul Fatihah Sulaini
bhnews@bh.com.my


LELAKI maut apabila kereta Proton Saga BLM dipandunya bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 36 (Lembah Bidong) Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, di Setiu, semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Asisten Superintendan Amran Shapii, berkata dalam kejadian 7.15 pagi itu, Sabebri Ghani, 60, dari Kampung Baru Merang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila MPV Honda BRV dari arah Kota Bharu menghala ke Merang masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.

“Akibat kemalangan itu mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian sementara pemandu MPV dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut akibat kecederaan dialaminya,” katanya.

Amran berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mustafa Ismail berkata, mereka menerima panggilan pada 7.30 pagi sebelum bergerak ke lokasi kemalangan membabitkan 15 anggota termasuk anggota bomba bantuan dari BBP Kuala Nerus.

“Ketika tiba di lokasi kejadian kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk kenderaan mereka dan bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak hospital,” katanya.

Sementara itu, saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, arwah bapa saudaranya itu dalam perjalanan pulang selepas menghantar seseorang di Kuala Terengganu.

“Arwah keluar rumah selepas Subuh dan sempat bersahur kali terakhir bersama keluarganya.

“Bagaimanapun sejak beberapa hari lalu Ayah De (Sabebri) tidak berselera makan nasi dan hanya makan mi segera untuk mengalas perut.

“Saya hanya mengetahui kejadian menimpa arwah melalui Facebook dan pada mulanya menyangka orang sekampung, rupanya bapa saudara sendiri.

“Kami sangat terkejut dengan kejadian menimpa arwah dan beliau seorang yang sangat baik, mudah menolong orang serta ramah dengan sesiapa sahaja, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 1:41 AM