REBAN ayam dan kandang lembu dibina di kawasan Pusat Pendaratan dan Penetasan Penyu di Geliga, Chukai menimbulkan kemarahan penduduk. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


PENDUDUK Kampung Geliga, Chukai kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab individu menceroboh tanah diwartakan sebagai Pusat Pendaratan dan Penetasan Penyu Geliga untuk aktiviti penternakan ayam dan lembu.

Kewujudan aktiviti berkenaan bukan sahaja mencacatkan pemandangan di kawasan itu, malah boleh mengganggu spesies penyu untuk naik bertelur di situ.

Penduduk, Zakaria Yusof, 64, berkata, penceroboh membina beberapa reban ayam dan kandang lembu kira-kira 100 meter dari pusat berkenaan.

“Reban ayam dan kandang lembu itu dibina sejak setahun lalu dan ia tidak sesuai memandangkan kawasan itu adalah kawasan pendaratan penyu tertinggi di negara ini.

“Jarak reban itu sangat hampir dengan pantai serta diterangi lampu dan cahaya menyebabkan ia boleh mengganggu penyu untuk naik bertelur di kawasan ini,” katanya.

Katanya, pihak tidak bertanggungjawab turut meletakkan tiga bot di tepi pantai berkenaan dan kehadiran bot itu turut menyukarkan penyu menggali pasir untuk bertelur.

“Selain reban ayam, terdapat dua binaan baru dibina di kawasan itu yang mungkin akan dijadikan kandang lembu.

“Tindakan penceroboh ini tidak boleh dibiarkan dan kami berharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka demi memastikan penyu dapat mendarat dan menetas tanpa gangguan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kemaman, Osman A Bakar berkata, pihaknya tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak menjalankan sebarang aktiviti di kawasan pendaratan penyu itu.

“Kami sudah menampal notis amaran kepada pihak berkenaan supaya mengosongkan kawasan itu, namun penceroboh seakan-akan memandang sepi arahan diberikan.

“Selain itu, kami turut menutup jalan masuk di kawasan itu dan mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan dikeluarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 1:13 AM