MOHD Dini menunjukkan sarang anai anai pada dinding Dewan SKPK Princess Elizabeth, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


IBARAT ‘bom jangka’. Itu risiko dihadapi 100 murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth di Johor Bahru apabila struktur bangunan berusia 66 tahun itu kini diserang anai-anai.

Kesan kerosakan dapat dilihat dengan jelas pada struktur dewan sekolah apabila anai-anai dilihat merosakkan struktur kayu di dewan itu selain bersarang di bumbung bangunan berkenaan.

Difahamkan sejak dibina, bangunan sekolah semakin uzur itu hanya melalui fasa pembaikan, selain menerima bantuan penyelenggaraan dan pembasmian anai-anai.

Bagaimanapun situasinya semakin membimbangkan apabila kayu alang yang menjadi penahan bumbung dewan sekolah itu sudah reput dan patah pada penghujung Julai lalu.

Bukan saja struktur dewan terancam, anai-anai menyerang semua bangunan lama termasuk bangunan A, B, C, blok pentadbiran, surau, dewan makan dan lima asrama murid menjadikannya ‘perangkap maut’.

Guru besar, Mohd Dini Karim berkata, pengurusan sekolah berharap kerja pembaikan struktur bumbung dapat dibaiki segera apatah lagi ia menenpatkan 53 murid dan 50 guru serta kakitangan sokongan.

“Saya bimbangkan keselamatan murid di sini, bukan saja mereka kalangan murid istimewa, malah berdepan ancaman keselamatan.

“Struktur bangunan lama ini mendedahkan sekolah kepada serangan anai-anai, malah keadaannya tidak selamat untuk dihuni dan bila-bila masa sahaja bumbung bangunan boleh runtuh,” katanya.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan meluangkan masa sejam meninjau keadaan sekolah berkenaan ditemani Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan.

Mohd Dini berkata, kemunculan anai-anai disedari pengurusan sekolah sejak tiga tahun lalu dan bantuan penyelenggaraan dan pembasmian anai-anai hanya membabitkan bahagian bawah.

“Boleh dikatakan kebanyakan kayu alang sudah diserang anai-anai dan menunjukkan strukturnya membengkak dan mereput.

“Kami sangka pembasmian di bahagian bawah dapat menyelamatkan bangunan ini, rupa-rupanya ia masuk melalui batu dan naik ke atas hingga merosakkan kayu.

“Kami tidak tahu kedudukannya di atas kerana ditutup dengan siling bangunan. Kami sudah mendapatkan khidmat kontraktor, namun pihak terbabit tidak berani untuk melaksanakan penilaian keselamatan bangunan ini.

“Ini kerana ada struktur yang sudah bergoyang dan boleh membawa padah sekiranya diusik, kami akan mendapatkan khidmat Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menilai semula struktur bangunan yang dibina pada 1953 ini,” katanya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti tergendala sejak tahun lalu berikutan kesan keselamatan mungkin dihadapi murid sekolah berkenaan.

Katanya, sebelum ini, pelbagai aktiviti dilaksanakan di bangunan itu termasuk perhimpunan, program minggu bahasa, hari penyampaian hadiah dan aktiviti pembelajaran lain namun terpaksa ditangguhkan atas keselamatan semua pihak.

“Sepanjang Ramadan, majlis khatam al-Quran dan Iftar terpaksa dilaksanakan di surau sekolah yang sebelum ini turut berdepan isu sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 12:23 AM