AZRIL Dino menunjukkan tempat barangan jemaah dicuri di Surau Al Ulum Kota Damansara. FOTO Mahzir Mat Isa.
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


SURAU al-Ulum Kota Damansara, Petaling Jaya menjadi sasaran pencuri sejak 2004 hingga kerugian ribuan ringgit.

Pemangku Pengerusinya, Zainol Abidin Kasim berkata, kekerapan berlaku kes itu menyebabkan pengurusan menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Bagaimanapun, katanya, surau itu tetap diceroboh dengan kejadian terbaharu pada 4.35 petang semalam yang menyebabkan dua telefon bimbit dan wang tunai jemaah hilang.

“Ini bukan kejadian pertama kerana sudah banyak kali surau ini dimasuki pencuri. Kejadian semalam disedari selepas solat Asar.

“Sebelum ini, bukan hanya wang ringgit yang hilang, bahkan laptop dan projektor turut dicuri,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, dalam kes semalam, semakan terhadap CCTV mendapati suspek dipercayai lelaki berusia lingkungan 20-an.

Sementara itu, bilal masjid, Azril Dino Abdul Malik, 39, berkata, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Kota Damansara dan rakaman CCTV turut diserahkan untuk siasatan lanjut.

Beliau percaya, suspek bukan penduduk kariah itu dan sebelum ini dilihat berada di surau sejak Zuhur.

“Ketika itu, kami tidak mengesyaki apa-apa kerana sentiasa bersangka baik dan menyangka suspek mahu beribadat,” katanya.

Insiden kecurian itu tular di media sosial dengan video menunjukkan lelaki memasuki saf perempuan untuk mencuri dua telefon bimbit dan wang tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 5:15 PM