Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


PENGAMAL perubatan tradisional terpaksa akur apabila Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini, menolak rayuan terhadap sabitan dengan mengekalkan hukuman penjara tiga tahun yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Tertuduh, Abdullah Muda, 62, sebelum ini didapati bersalah atas tuduhan mencabul seorang wanita yang juga pesakitnya pada 2016.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 7 Oktober 2018 menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Bagaimanapun, tertuduh membuat rayuan sebelum Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menolak rayuan dengan mengekalkan hukuman terhadap tertuduh berkuat kuasa pada tarikh sabitan iaitu pada 7 Oktober 2018.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencabul mangsa berusia 39 tahun di sebuah kedai milik mangsa di Chabang Tiga, jam 4 petang pada 30 Oktober 2016.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Mat Zin.

Sebelum ini, seorang wanita mendakwa dicabul ketika mendapatkan rawatan mengeluarkan gangguan makhluk halus.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di kedai miliknya sebelum didatangi tertuduh yang memaklumkan mahu memandikan mangsa menggunakan daun bidara sebagai susulan rawatan yang pernah dibuatnya sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 5:09 PM
MAHKAMAH Tinggi Kuala Terengganu mengekal hukuman tiga tahun penjara kepada Abdullah atas kesalahan mencabul pesakitnya. FOTO Rozainah Zakaria