RAMLY menunjukkan gambar wang yang ditawarkan suspek warga Thailand untuk melepaskan diri. FOTO Sharifah Mahsinah Abdullah.
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


BUKAN hanya disiasat atas jenayah dilakukan, lelaki Thailand bakal menghadapi tuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 kerana cubaannya menyogok pasukan keselamatan.

Kejadian berlaku Jumaat lalu, ketika lelaki berusia 30-an itu ditahan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu di Taman Chempaka, Tanah Merah bersama tiga rakannya.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Ramly Poncho berkata, dalam serbuan 6.15 pagi itu, suspek cuba merasuah anggota berpangkat sarjan dengan nilai RM1,600 bagi mengelak ditangkap berhubung kes kereta curi dan dadah.

“Anggota menolak sogokan itu dan menahan suspek bersama rakannya iaitu dua wanita dan seorang lelaki tempatan berusia 28 hingga 30 tahun.

“Kita juga merampas sebuah motosikal dan tiga kenderaan jenis Lexus, Perodua Myvi dan Viva yang dipercayai dicuri.

“Siasatan awal turut mendapati kereta Lexus itu adalah kereta klon dari Singapura, selain menemui dadah syabu seberat 3.4 gram,” katanya ketika ditemui di Rantau Panjang, hari ini.

Ramly berkata, penahanan itu susulan intipan dan risikan dilakukan anggotanya.

Katanya, suspek diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 379 (a) Kanun Keseksaan untuk curi kenderaan.

“Lelaki Thailand itu akan turut diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 3:39 PM