Antara aksi berbahaya penunggang motosikal sebelum ditahan polis. FOTO Ihsan PDRM
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


TINDAKAN lima lelaki yang melakukan aksi berbahaya menggunakan motosikal termasuk ‘superman’ mengundang padah apabila ditahan dalam Ops Samseng Jalanan.

Operasi mulai 10 malam itu dijalankan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod bersama 10 anggota.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam operasi yang tamat 5 pagi itu, pihaknya menahan dua lelaki yang membuat aksi wheelie dan tiga lelaki yang melakukan aksi superman.

“Lima lelaki yang ditahan ini berusia antara 19 hingga 25 tahun.

“Lelaki berusia 19 tahun yang melakukan aksi wheelie serta tiada lesen memandu ditahan di Jalan Ipoh.

“Mekanik berusia 22 tahun ditahan di Lebuhraya Lingkaran Tengah II (MRR2) menghala Batu Caves kerana melakukan lagak superman serta tiada lesen memandu.

“Tiga lelaki lain ditahan di Kompleks Pertama di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan MRR2,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 2:40 PM