Peniaga, Mohd Fizal Mohd Marzuki, 47, (baju merah berkolar) berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra, atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis heroin seberat 405 gram (gm) di tepi jalan Kampung Naga bersebelahan Taman Seri Naga, pada minggu lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


PENIAGA berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra hari ini atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah di Kampung Naga, Kepala Batas, di Kubang Pasu, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Fizal Mohd Marzuki, 47, berasal dari Sungai Petani hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Azmi.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd Fizal dituduh mengedar 405 gram (gm) dadah jenis heroin di tepi jalan Kampung Naga bersebelahan Taman Seri Naga kira-kira 5 pagi pada 11 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta sebatan minimum 15 kali.

Selain itu juga, tertuduh turut berhadapan tuduhan kedua iaitu memiliki 6.46 gm dadah jenis Methamphetamine pada masa, tempat dan hari yang sama.

Bagi tuduhan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama yang jika sabit kesalahan yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun serta dikenakan hingga sembilan sebatan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan Rashidah menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Natasha Rizal, manakala tertuduh diwakili peguam, K Sobini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 1:26 PM