HASLINA Musa (kanan) dan Muslaili Musa (dua dari kanan) bersama tiga daripada enam adik beradik orang kelainan upaya (OKU), Musalmah (kiri) Muzlan dan Mohd Muslim (tiga dari kiri) yang mengidap masalah mental semasa ditemui, di Kampung Baru Lebak. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek
am@hmetro.com.my


DUA beradik terpaksa menjaga empat abang dan dua kakak yang mengalami masalah mental sejak kematian ibu bapa mereka.

Tugas mengurus Mustafa, 54; Mustajudin,53; Musnani,45; Musalmah,43; Muzlan,42, dan Mohd Muslim,41, dipikul Haslina Musa, 35, bersama kakaknya, Muslaili, 36, selepas kematian ibu mereka, Halijah Mat Bakar pada 2013 dan bapa, Musa Singah pada 2017.

Haslina berkata, sukar menguruskan enam beradik Orang Kelainan Upaya (OKU) itu kerana ada antara mereka terlalu agresif, menyebabkan dia mengalami keguguran dua kali pada tahun lalu dan April lalu kerana terlalu tertekan.

“Selama ini arwah ayah yang menjaga mereka, tetapi selepas kematian ibu dan ayah, tugas itu dipukul kami dua beradik kerana berpegang kepada pesanan ayah, biarlah kita susah di sini kerana di sana (akhirat) kita akan senang,” katanya.

Haslina berkata, suaminya, Ahmad Rizuan Jamin, 31 yang memahami kesulitan yang dihadapi, turut sama menjaga abang dan kakak iparnya.

Bagaimanapun, pendapatan Ahmad Rizaun yang bekerja di bengkel kimpalan dengan gaji RM55 sehari tidak cukup untuk menampung mereka sekeluarga, apatah lagi bagi menanggung persekolahan anak perempuan mereka yang berusia 13 tahun.

Haslina berkata, Muslaili yang juga ibu tunggal turut tinggal bersamanya bagi menguruskan abang dan kakak mereka yang tinggal bersebelahan rumahnya di Kampung Baru, di Temerloh.

“Ada di antara mereka yang agak agresif dan terpaksa bergantung kepada ubat bagi menenangkan mereka. Bukan saja tertekan menguruskan mereka, tetapi, saya sekeluarga turut terkesan dengan cakap-cakap masyarakat sekeliling. Namun, saya reda dan akur dengan ujian yang diberikan,” katanya.

Jelasnya, empat daripada enam beradik itu menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang digunakan untuk ubat-ubatan dan rawatan di hospital serta perbelanjaan harian mereka.

“Syukur suami banyak membantu menguruskan dan menghantar mereka ke hospital bila perlu. Saya berharap ada pihak yang sudi menempatkan mereka di pusat jagaan khas supaya mereka dapat menerima rawatan yang lebih baik,” katanya.

Haslina turut mengharapkan sumbangan daripada orang ramai bagi meringankan beban mereka memandangkan pendapatan suami serta kakaknya yang bekerja di restoran tidak cukup untuk menampung mereka sekeluarga.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam (06028024555191) atas nama Haslina dan sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 019-9854132.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 12:48 PM