ANTARA bekas minyak tiruan yang dirampas KPDNHEP dari sindiket yang menghasilkan minyak pelincir palsu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Menggunakan kaedah tempahan secara atas talian menerusi laman sesawang untuk memasarkan produk tiruan yang dihasilkan hingga ke Sabah dan Sarawak.

Ia strategi pemasaran digunakan sindiket menghasilkan minyak pelincir tiruan membabitkan pelbagai jenama terkemuka.

Sindiket menghasilkan minyak pelincir tiruan terbesar itu didedahkan Harian Metro kelmarin, susulan kejayaan 21 anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan serbuan Khamis lalu.

Timbalan Pengarah (Operasi Khas) Penguat Kuasa KPDNHEP, Rosli Ahmad berkata, siasatan susulan mendapati sindiket berpangkalan di Cheras Selatan itu dikesan beroperasi sejak tiga tahun lalu dengan menjadikan sebuah kilang sebagai pusat pemprosesan minyak pelincir tiruan.

Menurutnya, selain mendapatkan tempahan secara atas talian melalui laman web, sindiket itu dipercayai membekalkan minyak pelincir tiruan itu kepada bengkel kenderaan di sekitar Lembah Klang.

“Berdasarkan rampasan membabitkan 3,000 liter minyak pelincir siap diproses dan dimasukkan ke dalam bekas minyak pelincir kosong berjenama terkenal, KPDNHEP percaya sindiket itu mengaut keuntungan besar sebulan.

“Siasatan lanjut menemui 1,122 bekas kosong dikitar semula membabitkan pelbagai jenama minyak pelincir terkenal, 15 tong drum minyak additive, minyak enjin, pelekat, penutup botol dan pelbagai peralatan digunakan untuk memproses minyak pelincir tiruan itu,” katanya.

Difahamkan, kejayaan membongkar sindiket itu hasil usaha dan intipan dilakukan Unit Risikan KPDNHEP Putrajaya sebelum dua lelaki dipercayai pemilik dan pengurus perniagaan sindiket itu diberkas.

“Selain minyak pelincir, sindiket turut menghasilkan minyak auto dan minyak gear menggunakan jenama terkenal.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 5 dan Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011. Jika sabit kesalahan, pemilik perniagaan itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih daripada 3 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, KPDNHEP menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik bengkel yang membeli dan menjual minyak pelincir kenderaan tiruan itu kepada pengguna.

“Tindakan ini jelas satu penipuan dan KPDNHEP akan membanteras dan merampas produk tiruan ini dari pasaran,” katanya.

Berdasarkan risikan dilakukan, sindiket dikesan menambah jumlah penghasilan produk palsu itu menyedari permintaan pengguna untuk menyelenggara kenderaan meningkat sebelum pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 5:30 AM