PENGGUNA jalan raya perlu berhati-hati ketika melalui Kilometer 54 hingga 57, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Rhu Kubur, Marang berikutan keadaan gelap apabila lampu jalan tidak berfungsi pada waktu malam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


SUASANA gelap di sepanjang jalan di Kilometer 54 hingga 57, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Rhu Kubur, Marang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Tinjauan Harian Metro Metro di kawasan itu malam tadi mendapati, sepanjang laluan itu gelap berikutan lampu jalan dipasang di pembahagi jalan tidak bernyala.

Tambah merisaukan, di kiri dan kanan laluan berkenaan terletaknya hutan simpan dan kawasan berpaya.

Penduduk, Mohd Hafizi Khamis, 30, berkata, kira-kira 50 lampu jalan di sepanjang laluan itu tidak berfungsi sejak dua tahun lalu.

“Kalau dari Kampung Jambu Bongkok lampunya semua menyala, namun terputus sepanjang tiga kilometer di kawasan itu sehinggalah lampu bernyala semula di kawasan Rantau Abang.

“Pernah berlaku satu kemalangan maut apabila sebuah kereta merempuh dua motosikal di situ dipercayai pemandu kereta tidak ternampak motosikal terbabit,” katanya.

Penduduk lain, Mohd Umaidi Ashraf Hasan, 24, berkata, pengguna jalan raya perlu sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan itu kerana selain gelap, ia kawasan binatang liar termasuk babi hutan melintas terutama pada waktu malam.

“Saya pernah hampir melanggar kumpulan babi hutan melintas di situ ketika dalam perjalanan menghantar jenazah ke Kota Bharu.

“Mujurlah sempat mengelak dan tidak memandu laju, kalau tidak sudah tentu saya akan merempuh kumpulan babi itu dan menerima padah,” katanya yang bekerja sebagai pemandu van jenazah.

Menurutnya, sejak peristiwa itu, dia sentiasa memandu dengan berhati-hati ketika melalui kawasan gelap itu.

“Saya sangat berharap supaya pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah lampu jalan ini sebelum berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 1:19 AM