AHMAD menunjukkan ugutan diterima daripada Along sambil ditemani Michael. FOTO Ibrahim Isa
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


HANYA kerana tersilap meminjam Along sebanyak RM1,000, enam beranak bukan saja berdepan gangguan malah tidak boleh melakukan persiapan Aidilfitri berikutan semua wang yang ada terpaksa membayar faedah dikenakan.

Lebih malang, seorang anak pekerja kilang itu mendapat tawaran menyambung pengajian ke sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) namun kemungkinan besar terpaksa menolak berikutan masalah kewangan dihadapi mereka.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 47, berkata, pada Februari lalu, dia berdepan masalah kewangan terutama ketika sesi persekolahan mula dibuka dan peningkatan kos sara hidup.

“Saya seorang diri membesarkan lima anak manakala bekas isteri membawa haluan sendiri. Saya tidak salahkan dia, cuma perbelanjaan ketika ini terlalu tinggi dan biasanya gaji sebanyak RM2,000 tidak mencukupi.

“Ketika benar-benar terdesak, saya menerima pesanan di telefon bimbit mengenai perkhidmatan pinjaman wang dan selepas berfikir panjang, saya beranggapan mampu membayar hutang seperti dijanjikan kerana hanya meminjam RM1,000.

“Malangnya, saya tersilap kerana kadar faedah dikenakan terlalu tinggi hingga saya terpaksa meminjam Along kedua, ketiga dan sehingga ke-14 hanya untuk melunaskan kadar faedah Along terdahulu sedangkan hutang bertambah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, jumlah hutang yang dikumpul ketika ini ialah sebanyak RM10,000 dan ada wang yang dipinjam tidak digunakan langsung sebaliknya hanya untuk membayar Along lain.

Katanya, pada jam 9.30 pagi, 18 Mei lalu, dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari salah seorang Along yang mahu dia membayar dalam masa tujuh hari atau diburu hingga ke rumah di Taman Bersatu, Kulai.

“Saya hidup dalam tekanan kerana sering terfikir bagaimana mahu melunaskan hutang dan selepas menerima ugutan itu, saya tidak boleh tidur memikirkan masalah ini.

“Buat masa ini, semua anak-anak tidak tahu masalah yang saya hadapi kerana saya tidak mahu mereka terganggu, saya mahu mereka memberikan tumpuan pada pelajaran supaya dapat membaiki taraf hidup kami,” katanya.

Menurutnya, rakan mula melarikan diri dan menganggap dia sebagai penjenayah, sedangkan dia mangsa dalam keadaan ini.

Katanya, lebih menyedihkan apabila memikirkan anak-anaknya mungkin tidak dapat menyambut Aidilfitri seperti tahun-tahun sebelum ini, berikutan semua gajinya perlu membayar hutang.

“Saya berjumpa Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay dengan harapan dia dapat membantu saya untuk menyelesaikan hutang ini. Saya bukannya tidak mahu bayar, tetapi syarat dikenakan menyebabkan mustahil untuk orang seperti saya menjelaskan hutang Along,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai hari ini.

Sementara itu, Michael berkata, akan cuba membantu Ahmad dengan menjadi orang tengah dan meminta Along menghentikan kadar faedah, sebaliknya hanya membayar hutang asal.

“Jika diikutkan, Ahmad sudahpun membayar faedah yang tinggi dan berilah dia peluang untuk menjelaskan hutang dengan hanya mengenakan bayaran jumlah yang dipinjam.

“Pada masa sama, saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan jangan terpedaya dengan iklan Along di media sosial kerana ia hanya akan memudaratkan peminjam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 8:07 PM