Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


POLIS menubuhkan pasukan ‘Task Force’ bagi mengesan warga Myamar yang juga pemandu dan penumpang hadapan kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X -Trail yang terbabit kemalangan di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat susur keluar Plaza Tol Bukit Merah, di Bagan Serai, hari ini,

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal mendapati semua penumpang serta pemandu SUV berkenaan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata, pemandu dan penumpang hadapan SUV itu dipercayai melarikan diri selepas kemalangan itu dan usaha untuk mengesan kedua-dua mereka sedang dijalankan ‘Task Force’ ditubuhkan itu.

Menurutnya, siasatan mendapati semua mangsa yang berada dalam SUV itu dalam keadaan berhimpit dipercayai dibawa masuk ke negara ini melalui satu sindiket di utara tanah air .

“Mereka berada dalam kenderaan itu secara berhimpit dan jumlah keseluruhan penumpang serta pemandu adalah seramai 16 orang.

“Polis mendapati pemandu serta penumpang hadapan sudah melarikan diri.

“Semakan nombor pendaftaran SUV itu mendapati pemiliknya adalah seorang lelaki berusia 57 tahun dan beralamat di Kampar serta mempunyai 16 rekod saman,” katanya.


KETUA Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kerian, Asisten Superintendan Ribuan Hussain (kanan) memeriksa keadaan SUV yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat susur keluar Plaza Tol Bukit Merah, hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.

Omar Bakhtiar berkata, polis sudah menahan empat mangsa yang cedera untuk siasatan dan sedang mendapatkan bantuan jurubahasa bagi membolehkan siasatan dijalankan disebabkan mereka tidak boleh berbahasa Melayu atau Inggeris.

Menurutnya, tujuh mangsa yang parah sedang menerima rawatan di Hospital Taiping dan polis sedang berhubung dengan Kedutaan Myanmar bagi mendapatkan bantuan menguruskan tiga jenazah mangsa yang maut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sedang mengesan cap jari dua mangsa yang melarikan diri.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Berhimpit macam sardin'

'Tiga maut, 11 cedera SUV terbabas'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 7:47 PM