KHALID (kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail (dua dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan di Pasaraya Giant Kemuning Utama. FOTO Saddam Yusoff
Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my


PEMINDAHAN Bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Masjid India ke Jalan Raja adalah tindakan terbaik yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, pemindahan itu juga akan dikekalkan pada tahun akan datang sekiranya mencapai objektif yang diinginkan.

“Saya yakin keputusan memindahkan bazar Ramadan dari lorong yang kecil dan sempit itu adalah tindakan yang baik daripada DBKL.

“Masalah yang timbul di Bazar Ramadan Jalan Raja juga sudah kita tangani seperti laluan air tersumbat dan mulai malam tadi, sudah ada pendingin hawa di dalam khemah berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Program Jom Shopping RM100 Bagi Dewan Undangan Negeri Batu Tiga di Pasaraya Giant Kemuning Utama, Bukit Kemuning, Shah Alam, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pengunjung juga mula ramai ke bazar berkenaan dan beliau yakin bilangannya akan bertambah kerana Ramadan bakal berakhir dalam tempoh dua minggu lagi.

“Kita akan melihat jika lokasi berkenaan akan dikekalkan sebaik sahaja Ramadan berakhir dan jika ia mencapai apa yang kita inginkan, lokasi itu akan dikekalkan pada penganjuran bazar pada tahun yang akan datang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa lot tapak niaga di Bazar Ramadan Jalan Raja khususnya di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad menghadapi masalah air bertakung sehingga menjejaskan aktiviti perniagaan.

Sementara itu, pada program Jom Shopping terbabit, Khalid mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana terus merakyatkan ekonomi Selangor.

“Difahamkan tahun ini lebih meriah kerana 920 penerima menerima baucer beli-belah bernilai RM100 daripada kerajaan negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 2:24 PM