Ahli SBGM bersama ibu tunggal dan anak yatim dalam program Iftar Ramadan semalam. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


MENYEMAI sikap prihatin dan belas ikhsan dalam diri, Kelab Satria Bikers Group Malaysia (SBGM) mengambil inisiatif menceriakan 60 ibu tunggal dan anak yatim dalam program Iftar Ramadan di Restoran Kambing Terbang, Taman Tasik Jaya Senawang, Seremban semalam.

Presiden SBGM, Sahrilman Mohammed berkata, mereka yang terpilih membabitkan keluarga asnaf dalam kalangan murid Sekolah Kebangsaan Senawang (SKS).

Katanya, selain berbuka puasa ibu tunggal dan anak yatim menerima duit raya RM50 dan barangan makanan berjumlah RM160.

“Program ini sebahagian aktiviti amal SBGM bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik sempena Ramadan.

“Aktiviti ini memasuki tahun ketujuh dengan harapan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Katanya, SBGM mewujudkan tabung khas dan mengumpul sumbangan sesama ahli untuk menyampaikan sumbangan itu.

“Biarpun sibuk dengan kerjaya masing-masing, ahli kami terdiri kakitangan kerajaan, swasta dan usahawan tidak melepaskan peluang untuk berbakti,” katanya.

Hadir sama Guru Besar SKS, Suziana Awaluddin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu, Shahrudin Taib.

Terdahulu majlis itu diserikan dengan tazkirah Ramadan oleh Pegawai Kaunselor Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS, Wan Aminudin Wan Abdullah.

Sementara itu, Suziana berkata, pihaknya menyambut baik usaha SBGM dan berharap ia dapat diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 2:22 PM