Penguat kuasa menyerbu kilang memproses mi kuning dan kuey teow di Kepong kelmarin. FOTO Ihsan KPDNHEP
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


KILANG memproses mi kuning dan kuey teow di Kepong, Kuala Lumpur diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas disyaki beroperasi tanpa sijil halal sah, kelmarin.

Kilang yang beroperasi sejak 2003 itu diserbu 11 malam selepas dikesan tidak memperbaharui logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak sembilan tahun lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Azeem Nazuri berkata, serbuan itu turut disertai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JAKIM.

Katanya, pemeriksaan mendapati premis itu melakukan kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana memperaku mana-mana makanan, barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang itu adalah halal.

“Berdasarkan kesalahan itu, kami menyita 21 bungkus kuey teow, laksa panjang (tujuh bungkus), laksa pendek (10 bungkus), plastik pembungkus kuey teow (34 gulung) dan plastik pembungkus mi kuning (lima gulung) selain pelbagai dokumen.

“Pemeriksaan mendapati tahap kebersihan kilang itu juga rendah dan tindakan penutupan premis akan dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azeem berkata, keseluruhan barang yang disita dalam serbuan itu adalah RM2,020.

“Berdasarkan siasatan kilang itu didapati gagal memperbaharui sijil halal selepas tamat pada 2010.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan. Jika disabitkan kesalahan, pemilik kilang boleh dikenakan denda serta penjara kerana kesalahan penyalahgunaan logo halal pada produk makanan.

“Ini kesalahan serius kerana ia boleh mengelirukan pengguna, terutama umat Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 12:37 PM