LAPORAN Harian Metro, semalam.
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my

TIADA cara mudah untuk pengguna memastikan ketulenan minyak enjin kenderaan dan minyak kotak gear hanya melalui pemerhatian mata kasar mahupun label pada botol produk berkenaan.

Pengarah Pusat Pembangunan Automotif Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru, Prof Madya Dr Mohd Farid Muhamad Said berkata, cara pemerhatian dan penelitian masih tidak dapat menjamin ketulenannya.

“Memang sukar sebenarnya untuk kita pastikan ketulenan minyak itu walaupun sesetengah syarikat memberikan panduan ciri-ciri tertentu pada botol produk sebagai rujukan pengguna.

“Kebiasaannya tidak ramai pengguna tahu perkara ini, malah mungkin hanya orang tertentu seperti mekanik boleh mengandaikan ketulenan, itupun berdasarkan pengalaman kerjanya dan masih tidak sahih,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad , semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro, semalam, mengenai kewujudan sindiket yang mengaut keuntungan jutaan ringgit setahun melalui kegiatan memalsukan hampir semua jenis minyak enjin kenderaan dan minyak kotak gear jenama terkemuka sebelum diedarkan ke seluruh negara.

Malah, sindiket dikesan menambah jumlah penghasilan produk palsu itu berikutan menyedari peningkatan permintaan pengguna untuk menyelenggara kenderaan sebelum pulang ke kampung untuk Aidilfitri.

Aktiviti menjual minyak enjin palsu itu dipercayai menjadi punca beribu kenderaan mengalami kerosakan selain aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) daripada pengguna.

Bagaimanapun, penipuan licik dilakukan itu dibongkar KPDNHEP Putrajaya sebelum serbuan mengejut dilakukan jam 12 tengah hari kelmarin dengan nilai rampasan lebih RM2 juta.

Mengulas lanjut, Mohd Farid berkata, dengan kecanggihan teknologi hari ini, pelbagai bahan boleh digunakan untuk meniru minyak tiruan menjadikannya hampir sama dengan minyak tulen.

“Cara terbaik untuk pastikan ketulenan minyak itu ialah dengan menjalani ujian makmal untuk melihat tahap kelikatan, ketumpatan dan kandungan mineral di dalamnya.

“Kedua, hanya membeli minyak terbabit di pengedar sah yang harganya mungkin lebih mahal berbanding bengkel-bengkel biasa, namun ia menjamin keselamatan pengguna kenderaaan,” katanya.

Sebagai contoh, tambahnya pengguna boleh membeli minyak pada pengedar sah seperti di stesen minyak dan elakkan membeli minyak kenderaan berjenama yang dijual pada harga lebih murah daripada harga pasaran.

“Risiko beli di tempat lain seperti di laman sosial dan dalam talian dikhuariti menyebabkan pengguna terdedah kepada penipuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 7:01 AM