REAKSI ceria Tunku Azizah ketika menyediakan bahan untuk bubur lambuk resipi istimewa baginda, semalam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

KELINCAHAN Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ‘beraksi’ memasak bubur lambuk resipi istimewa baginda di Masjid Jamek, Kampung Baru menarik perhatian anggota kariah dan orang ramai di sekitar kawasan itu.

Rata-rata mereka teruja melihat kehadiran Tunku Azizah yang terkenal dengan hobi memasaknya, baginda tidak kekok menyingsing lengan baju menyediakan sendiri dua kawah bubur lambuk ayam dan daging, antara makanan tradisi setiap kali menjelang Ramadan itu.

“Mak cik kali pertama tengok Raja Permaisuri masak, selalu dengar cerita dan tengok kat televisyen Tuanku pandai masak, ini tengok sendiri memang rasa gembiralah, memang nampak kehandalan Tuanku masak, tak sabar nak rasa air tangan Tuanku,” kata Siti Wahab, 65, anggota kariah di Masjid Kampung Baru selama 10 tahun.

Melalui Program Bubur Lambuk Perdana Masjid-Masjid di Wilayah Persekutuan anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (JAWI) itu, bubur lambuk berkenaan kemudian dibungkus kepada 1,000 bungkusan di mana Tunku Azizah turut mengedarkannya kepada wakil masjid daripada tujuh zon di Wilayah Persekutuan.


TUNKU Azizah (kanan) dibantu Rina menyediakan bubur lambuk pada Program Bubur Lambuk Perdana Masjid-Masjid di Wilayah Persekutuan anjuran JAWI di Masjid Jamek Kampung Baru, semalam. FOTO BERNAMA

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail berkata, dua kawah bubur lambuk yang dimasak Tunku Azizah itu sebahagian daripada keseluruhan 71 kawah termasuk satu penyertaan daripada Persatuan Anak Melayu Johor yang dimasak secara gotong-royong melalui program berkenaan.

“Ia dianggarkan boleh dibungkus kepada 13,600 bungkusan,” katanya.

Jelasnya program yang kali pertama dianjurkan secara bersama antara masjid di Wilayah Persekutuan itu turut mendapat kerjasama Istana Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

“Tahun ini, JAWI ambil inisiatif membabitkan masjid di Wilayah Persekutuan secara bersama dalam acara perdana ini. Program ini bertambah seri dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong,” katanya.

Turut hadir, Anggota Parlimen Titiwangsa yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussien Abd Kadir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 5:45 AM