TUAN Mohd Asri (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan kotak rezeki disampaikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bhd, Ferdaus Toh Abdullah (dua dari kanan) kepada wakil penerima. Turut serta, Pengarang Eksekutif Komersial Harian Metro, Husain Jahit (kiri). FOTO Aswadi Alias.
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

PENAJA utama Kotak Rezeki Harian Metro 2019, Affin Islamic Bhd menyumbang RM200,000 zakat perniagaan bagi menjayakan program amal berkenaan sepanjang Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nazlee Khalifah berkata, pada masa sama, pihaknya turut menyumbang RM159,000 merangkumi jumlah tajaan bagi program berkenaan.

“Setiap rumah kebajikan terbabit dalam program ini akan menerima agihan sumbangan zakat berupa barangan keperluan asas berjumlah RM500 dan sumbangan wang tunai RM3,500 dengan jumlah keseluruhan untuk setiap rumah ialah RM4,000.

“Ini adalah penajaan untuk kali keempat bagi program Harian Metro Kotak Rezeki dan kita berbesar hati untuk terbabit sama dalam program ini,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Harian Metro Kotak Rezeki di Madrasah Tahfiz Raudatul Baiduri, Olak Lempit, Banting.

Dalam pada itu, Nazlee berkata, pihaknya tertarik meneruskan kerjasama bagi program berkenaan dengan Harian Metro kerana akhbar ini dapat membantu penyampaian sumbangan terus kepada mereka yang memerlukan.

Selain itu, beliau berkata, matlamat utama pihaknya adalah untuk melaksanakan tanggungjawab sosial Affin Islamic kepada masyarakat setempat menerusi cawangan beroperasi di seluruh Malaysia.

“Kami mempunyai 111 cawangan termasuk satu cawangan digital di seluruh Malaysia dan program Harian Metro Kotak Rezeki bertepatan dengan objektif kami kerana ia bukan saja membantu golongan yang memerlukan di sekitar Lembah Klang, malah di seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Nazlee berkata, pihaknya melihat program seperti ini yang dilaksanakan Harian Metro memberikan satu platform besar kepada organisasi korporat seperti Affin Islamic untuk menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Ia sekali gus melunaskan tanggungjawab kami sebagai sebuah organisasi korporat yang prihatin dan bertanggungjawab. Secara peribadi, kerjasama ini akan diteruskan di masa hadapan dengan skala lebih besar, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif K.H.H Double Lion Distributors Sdn Bhd, Tan Khoo Wee berkata, ini pertama kali pihaknya terbabit dengan program Harian Metro Kotak Rezeki dan mereka tertarik dengan objektif penganjurannya bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Kami menyumbang 11,000 botol air minuman untuk diagihkan setiap 11,000 kotak rezeki membabitkan kotak keluarga dan individu.

“Kami mempunyai program tanggungjawab sosial anjuran syarikat, tetapi di sekolah dan dengan kerjasama dalam program Harian Metro Kotak Rezeki, kami berbesar hati bersama membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 5:45 AM