Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


GELAP mata ditawarkan kerja menghantar barang dengan upah lumayan antara RM5,000 hingga RM6,000, empat lelaki tempatan dipergunakan sindiket untuk menghantar dadah ke Busan, Korea dan Taiwan.

Kesemua suspek berjaya diberkas polis antara 15 Mei lalu hingga hari ini apabila cuba melepasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 bersama bekalan dadah methamphetamine dan ketamine yang dibalut pada badan dan disembunyikan dalam bagasi.

Empat lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 42 tahun itu diberkas polis dengan 2.97 kilogram (kg) methamphetamine serta 5.07 kg ketamine turut dirampas, dianggarkan bernilai RM240,000.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kesemua suspek ditawarkan pekerjaan melalui Facebook, WeChat dan Messenger iaitu sebagai penghantar barang dengan upah lumayan antara RM5,000 hingga RM6,000 setiap orang.

Katanya, mereka juga diarah menginap di hotel murah dan di situ ahli sindiket akan menemui mereka dan memberi arahan seterusnya.

“Suspek juga diarah tidak menghubungi ahli keluarga dan telefon pintar juga dirampas serta digantikan dengan telefon yang dibekalkan sindiket.

“Ketika di hotel, badan suspek akan dibalut dengan bungkusan dadah dan mereka diarah ke KLIA dan KLIA 2 dengan kenderaan e-hailing selain pas penerbangan yang diuruskan oleh sindiket,” katanya pada sidang media, hari ini.


ZULKIFLI (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dari empat lelaki yang cuba melepasi pintu masuk ke pesawat di KLIA dan KLIA 2. FOTO Luqman Hakim Zubir

Katanya, ketika disoal siasat, kesemua suspek mengaku tidak mempunyai pekerjaan dan terperangkap dengan janji dan upah lumayan yang ditawarkan.

Dalam tangkapan terbaru, masing-masing 5.20 dan 6.50 pagi hari ini, anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA menahan dua lelaki tempatan selepas menemui bungkusan keras yang dibalut pada badan suspek.

Adamshah berkata, kedua-dua mereka dikawal oleh satu sindiket yang sama dan diarahkan menghantar dadah ke Taiwan.

“Kami menemui bungkusan dadah yang dibalut pada badan suspek iaitu pada betis dan paha.

“Mereka ditahan ketika pemeriksaan jalan dilakukan terhadap badan suspek oleh anggota polis bantuan MAHB dan IPD KLIA,” katanya.

Katanya, pihaknya berjaya merampas 5.07 kg ketamine daripada kedua-dua suspek yang dianggarkan bernilai RM150,000.


KEADAAN seorang suspek cuba membawa masuk dadah ke pesawat di KLIA. FOTO Luqman Hakim Zubir

Sementara itu, dalam kejadian pada 16 Mei lalu, Adamshah berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun ditahan di ruang menunggu pelepasan antarabangsa KLIA bersama 1.869 kg methamphetamine yang disembunyikan dalam ruang tersembunyi bagasi.

Selain itu, Adamshah berkata, seorang lagi warga tempatan berusia 41 tahun turut ditahan di klia2 selepas pemeriksaan badan menemui dadah jenis Methamphetamine seberat 1.104 kg yang dibalut pada betis dan paha termasuk yang disembunyikan dalam seluar dalam.

“Siasatan mendapati suspek diarahkan sindiket ke Busan, Korea,” katanya.

Katanya, pihaknya menasihatkan orang awam supaya tidak terpedaya dengan pekerjaan yang ditawarkan menerusi laman sosial dan selidik dahulu tawaran itu dengan pihak berkaitan bagi mengelak ditipu dan dijadikan keldai dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 7:21 PM