ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Melaka melakukan pemeriksaan produk dalam operasi, kelmarin. FOTO Ihsan KPDNHEP Melaka.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


SEJUMLAH 2,576 produk keluaran syarikat pengeluar makanan dirampas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka selepas menyalahgunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ia susulan serbuan di tiga premis runcit masing-masing di Taman Merdeka Permai, Batu Berendam; Pengkalan Jaya, Alor Gajah dan Taman Limbongan Jaya, pada 10.30 pagi, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP negeri, Muhamad Aizudin Mohd Said berkata, semua produk makanan yang dirampas itu bernilai RM4,800.50.

“Serbuan ini hasil risikan selepas mendapati premis menjual produk bersama label halal yang tiada kelulusan dan pengiktirafan JAKIM.

“Pemeriksaan lanjut yang dibuat juga mendapati logo halal tertampal di bungkusan produk bukan daripada JAKIM mahupun badan luar negara yang diiktiraf JAKIM.

“Antara produk disita adalah tepung goreng, kerisik kelapa, tepung kastard, minuman berperisa, rempah sup, tepung pulut dan pes rojak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad Aizudin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti tempoh produk itu di pasaran dan mengesan lain-lain produk berkaitan.

“Kita beri amaran keras kepada pengeluar dan peniaga agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan logo halal yang boleh mengelirukan masyarakat Islam,” katanya.

Menurutnya tindakan boleh diambil mengikut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 seperti dikenakan ke atas tiga premis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 3:13 PM