SM Mohamed Idris
Zuhainy Zulkiffli

TEGAS, berilmu dan teliti. Itu sikap Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Sekitar, SM Mohamed Idris selepas hampir saban minggu bertemunya di sidang media di Pejabat CAP di Jalan Masjid Negeri bagi hebahan berkaitan hak pengguna.

Mengagumkan walaupun usia sudah melebihi 90 tahun, beliau masih bekerja malah aktif menjalankan kajian serta tinjauan berhubung kepenggunaan awam dan alam sekitar.

Setiap minggu, ada sahaja pendedahan daripada pihak CAP dan SAM berhubung salah laku, aniaya, penipuan, produk bahaya, pencemaran dan lain-lain aduan awam yang sering ‘menggegarkan’ pihak berkaitan.

Dalam temuramah eksklusif Harian Metro bersamanya tidak lama dahulu, beliau turut tidak lokek berkongsi ilmu penanaman pokok dan amalan pemakanan sihat yang diamalkan selepas di serang penyakit jantung.

Makanan kegemarannya ialah buah-buahan dan beliau juga kurang makan daging atau makanan berminyak serta menjadikan amalan berkebun sebagai senaman setiap hari.

Beliau hanya berbasikal bagi sebarang urusan termasuk ke pejabatnya, sehingga berusia lewat 80 tahun berikutan keadaan kesihatannya yang kurang memuaskan.

Beliau pernah berkhidmat dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Jabatan Lanskap dan difahamkan pokok besar berusia puluhan tahun di beberapa jalan sekitar Georgetown adalah pokok warisan yang ditanam Mohamed Idris.

“Pokok tu macam ‘adik’ saya. Saya tanam, saya jaga, saya sayang,” katanya yang mengundang tawa ketika temubual itu.

Justeru, tidak hairanlah apabila gambar beliau menangis sambil memeluk pokok di Jalan Masjid Negeri beberapa tahun lalu adalah antara yang paling diingati berikutan bantahannya terhadap kerajaan negeri bagi menebang pokok warisan di situ untuk memberi laluan kepada projek membina jalan raya berkembar.

Dunia amat menyanjung Mohamed Idris berikutan kelantangannya mengenai hak pengguna dan alam sekitar malah beliau juga pernah ditawar gelaran ‘Sir’ oleh negara luar namun menolaknya berikutan prinsip berjuang dengan ikhlas.

Dunia kehilangan tokoh itu selepas beliau meninggal dunia akibat sakit tua, pada usia 93 tahun kira-kira jam 5 petang, semalam.

Allahyarham meninggalkan empat anak dan jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Hashim Yahya, Jalan Perak dekat sini, hari ini.

Selain mengetuai CAP sejak 1969, Idris turut mengasaskan SAM, Institut Masyarakat, Rangkaian Dunia Ketiga dan Citizens International.

Lahir pada 1926, beliau yang berasal dari India mengikut bapanya berhijrah ke Pulau Pinang pada usia 12 tahun, bagi menguruskan perniagaan perkapalan di sini.

Jasa dan bakti beliau akan terus dikenang, malah kajian dan tinjauan yang pernah dilakukan tokoh itu akan terus bermanfaat kepada generasi depan. Al-Fatihah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 11:33 AM