MOHD Haris (tengah) menunjukkan barang rampasan. FOTO Khairull Azry Bidin
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


POLIS menumpaskan dua geng pecah rumah dan samun sekitar daerah Penampang berikutan penahanan empat lelaki termasuk ketua geng dalam beberapa serbuan berasingan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, tangkapan pertama membabitkan tiga anggota Geng Carlsen susulan laporan polis bagi kes pecah masuk rumah ibadat di Kampung Hungab, Penampang pada 11.20 malam, 8 Mei lalu.

Katanya, akibat kejadian itu beberapa peralatan seperti gitar elektrik, pembesar suara, tabung berisi wang RM1,000 dan alat muzik keyboard hilang dipercayai dicuri.

“Bertindak atas maklumat, pada hari yang sama laporan dibuat, kira-kira 9 pagi, sepasukan pegawai dan anggota diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Penampang, Asisten Superintendan Farid Sairi menahan seorang suspek dan merampas beberapa barang hasil curi.

“Selang tiga jam kemudian, hasil soal siasat, polis menahan seorang lagi anggota geng berkenaan disyaki ketua geng itu dan turut merampas beberapa barangan curi,” katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Penampang, semalam.

Mohd Haris berkata, pada keesokkannya, polis menahan suspek ketiga dan hasil pemeriksaan menemui 31 peralatan elektronik seperti komputer riba, tablet dan telefon bimbit.

“Suspek ketiga dipercayai berhasrat untuk membuka kedai menjual telefon berdasarkan penemuan lebih 20 telefon bimbit pelbagai jenama.

“Turut ditemui semua barang disyaki dicuri di rumah ibadat dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM16,500.

“Semua suspek berusia 36, 37 dan 43 tahun disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Haris berkata, pihaknya turut menangkap ketua Geng Pang Loong yang dikesan melakukan jenayah samun bersenjata parang di daerah ini dan Putatan.

“Suspek berusia 21 tahun bersama dua anggota geng itu disyaki terbabit kes samun bersenjata pada 20 April lalu. Pada 12 Mei lalu, ketua geng berkenaan berjaya ditahan dan dua lagi anggota geng itu sudah ditahan oleh polis dari IPD Kota Kinabalu.

“Hasil penahanan ketua geng itu, polis merampas sebilah parang berukuran 43 sentimeter dan lima telefon bimbit pelbagai jenama dianggarkan RM8,000.

“Siasatan masih dijalankan bagi tujuan mengesan rakan sejenayah serta pembabitan di dalam kes-kes lain di daerah ini dan Putatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan bersenjata parang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 10:59 AM