ANGGOTA bomba memeriksa mayat remaja 13 tahun yang lemas di bekas tapak kuari di Felda Ayer Hitam, Kluang. FOTO Ihsan Bomba.
Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


REMAJA lelaki ditemui lemas selepas tergelincir ketika mandi di bekas tapak kuari dekat Felda Ayer Hitam, Kluang, hari ini.

Aniq Imran Yusof, 13, ditemui terapung kira-kira lima meter dari tebing oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 5.40 petang.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Othman Baher berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 4.59 petang dan satu jentera membabitkan lima anggota dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami dapati mangsa tenggelam ke dalam kuari sedalam 30 meter dan memulakan SAR.

“Mangsa dikatakan mandi di tebing kuari itu bersama abang dan rakannya sebelum tergelincir.

“Mayatnya ditemui terapung pada 5.40 petang, hampir lima meter dari tebing berkenaan,” katanya.

Beliau memberitahu mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 6.35 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 8:36 PM