MANGSA ditipu selepas mahu meminjam wang sebanyak RM100,000 dari pihak tidak dikenali. Foto gambar hiasan.
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


Hasrat seorang pemilik spa di Kuantan, Pahang, membuat pinjaman peribadi untuk dijadikan modal tidak kesampaian apabila dia kerugian RM31,090 ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 26 April lalu, mangsa wanita berusia 34 tahun mencari iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook bagi membuat pinjaman peribadi untuk dijadikan modal membesarkan perniagaan.

“Mangsa kemudian terjumpa iklan dengan nama ‘pinjaman blacklist’ sebelum meninggalkan nombor telefonnya. Mangsa berhasrat untuk membuat pinjaman sebanyak RM100,000,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihubungi suspek yang memperkenalkan diri dari sebuah syarikat menyediakan pinjaman peribadi.

“Mangsa kemudian bersetuju membuat pinjaman berjumlah RM100,000 dan suspek memaklumkan pinjaman itu boleh diuruskan segera jika mangsa membuat bayaran wang proses bagi memudahkan proses kelulusan pinjaman,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa diminta membuat pembayaran wang bagi tujuan pengurusan wang, membuka akaun semasa, proses perjanjian mematikan duti setem dan pembayaran penalti disebabkan lewat bayar wang perjanjian.

“Mangsa membuat lima transaksi ke tiga akaun berbeza menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM31,090,” katanya.

Beliau berkata, selepas memindahkan semua wang berkenaan, mangsa sekali lagi diminta membayar RM5,000 bagi tujuan pembayaran penalti kepada pegawai Bank Negara.

“Mangsa yang menyedari sudah menjadi mangsa penipuan membuat laporan polis dI Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, petang kelmarin,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 11:31 AM