ROKOK tanpa cukai ditemui di dalam van oleh PPM Lahad Datu di Simpang Tabin, Tungku, Lahad Datu.. Gambar ihsan PPM.
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki bersama adiknya yang berusia 10 tahun dan merampas 14,800 bungkus rokok tanpa cukai di Simpang Tabin, Lahad Datu, Sabah, semalam.

Dalam kejadian jam 7.18 pagi itu, semua rokok itu ditemui di tempat duduk belakang van yang dipandu suspek berusia 26 tahun.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya yang menjalankan satu operasi mengesan sebuah van model Toyota Hiace dalam keadaan mencurigakan disyaki membawa barang salah.

“Anggota PPM Lahad Datu kemudian mengekori van berkenaan sehingga ke Simpang Tabin, Tungku sebelum menahannya untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan ke atas van itu, menemui pelbagai jenis rokok yang disimpan di dalam plastik hitam dianggarkan sebanyak 14,800 bungkus,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, suspek bersama adik lelakinya gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Turut dirampas van Toyota Hiace, dua telefon bimbit, mata wang asing dan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM97,420.

“Dua beradik bersama barang rampasan di bawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 11:06 AM