FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


LELAKI warga Thailand dijatuhi hukuman denda RM2,900 di Mahkamah Rendah Syariah Marang hari ini kerana mengutip derma tanpa kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di kawasan Pasar Bukit Payong November lalu.

Selain itu tertuduh, Mr Sukiplee Ha, 21, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak turut berdepan hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan Seksyen 90 (4) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001 kerana menjalankan aktiviti pungutan derma tanpa kebenaran daripada MAIDAM.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai penguat kuasa syariah menjalankan pemantauan di kawasan Pasar Bukit Payong pada 10.30 pagi 16 November 2018.

Ketika pemantauan dilakukan, penguat kuasa ternampak tertuduh yang memakai jubah dan berkopiah memegang tabung dengan tali tersangkut di leher bertulis “Derma Untuk Asrama dan Madrasah Anak Yatim” bagi memungut derma.

Penguat kuasa menghampiri tertuduh untuk pemeriksaan dan ketika soal siasat, tertuduh gagal mengemukakan surat kebenaran memungut derma sebelum dibawa ke Pejabat Agama Daerah Marang untuk siasatan lanjut.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Sebelum ini, tertuduh yang melakukan kesalahan sama di Besut dijatuhi hukuman denda RM2,700 atau penjara lima bulan di Mahkamah Rendah Syariah Besut 7 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 6:20 PM