KERATAN laporan sebelum ini.
Suraya Roslan
am@hmetro.com.my


JABATAN Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) menegaskan prosiding perceraian bekas Pencetus Ummah (PU) Abu atau Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, 25, dan bekas isterinya, Ain ‘Afini Latif bukan sambungan perbicaraan.

Sebaliknya, ia adalah permohonan perceraian baharu bagi pasangan itu.

Unit Komunikasi Korporat JAKESS dalam satu kenyataan memaklumkan, pasangan itu memfailkan kes untuk perbicaraan baharu pada hari sama Hakim Syarie menetapkan keputusan dan ianya ‘functus officio’.

Terma itu merujuk kepada penyelesaian tugas kehakiman terhadap kes melalui keputusan yang dikeluarkan dan ia tidak boleh diperdengar semula.

“Pada 2 Mei 2019 di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Ain ‘Afini Latif memfailkan kes saman nombor 10022-054-0310-2019 di bawah Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) (EUKIS) 2003 yang membabitkan kes ‘pendaftaran perceraian di luar tanpa kebenaran mahkamah’ terhadap PU Abu.

“Pada tarikh sama, Ain juga memfailkan kes saman nombor 10022-061-0311-2019, di bawah Seksyen 61 EUKIS, yang membabitkan kes ‘pengesahan rujuk’ antaranya dengan PU Abu yang sebelum ini pernah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang pada 28 Januari 2019.

“Kedua-dua kes sudah dibicarakan serentak pada 15 Mei 2019 (semalam), jam 10.57 pagi di hadapan Hakim 2 Mahkamah Rendah Syariah Klang iaitu Mohd Nurulazhar Mohd Tohar.

“Berdasarkan kepada fakta, keterangan dan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah sepanjang perbicaraan kes, hakim memutuskan rujuk pada 23 Februari 2019 adalah sah dan lafaz talak melalui aplikasi Whatsapp pada 13 Mac 2019 adalah tidak sah dan tidak mensabitkan talak,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, prosiding membabitkan kes itu selesai pada 11.45 pagi dan suami isteri berkenaan beredar meninggalkan premis mahkamah selepas itu.

“Bagaimanapun, sekitar 12.30 tengah hari, Mahkamah Rendah Syariah Klang dihubungi Ain melalui telefon memaklumkan PU Abu terlupa untuk menyatakan kepada mahkamah berhubung kewujudan lafaz sekitar hujung Mac 2019 berbunyi “Saya dan dia, isteri saya sudah bercerai.”

“Mahkamah menasihatkan Ain dan PU Abu hadir ke mahkamah dan memfailkan satu kes baharu bagi menentukan status lafaz talak itu.

“Jadi, mereka hadir semula ke Mahkamah Rendah Syariah Klang dan memfailkan kes saman nombor 10003-054-0249-2019 di bawah seksyen 57 EUKIS 2003 membabitkan kes pendaftaran perceraian luar tanpa kebenaran mahkamah,” katanya.

Katanya, memandangkan terdapat persetujuan antara Ain dan PU Abu berhubung kes saman baharu itu, maka mahkamah menetapkan kes terus didengar pada hari sama di depan hakim Mahkamah Rendah Syariah Klang iaitu Mohd Hairuddin Ab Rahim.

“Berdasarkan fakta, keterangan dan bukti dikemukakan hakim memutuskan lafaz talak pada hujung Mac 2019 adalah sah dengan talak satu, kali kedua berjumlah dua talak secara talaq raj’ie.

“Defendan (Ain) beriddah sehingga melahirkan kandungan,” katanya.

Katanya, JAKESS juga menegaskan pengendalian semua kes yang didaftarkan di Mahkamah Syariah Selangor sentiasa dilaksanakan selaras dengan segala prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang dan hukum syarak.

Berita berkaitan

Lafaz cerai PU Abu, isteri tidak sah [METROTV]

'Saya okay saja'

''Saya masih sayang isteri''

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 5:39 PM