ZAWAWI Ali kesal dengan jumlah ikan yang mati dibom di Perairan Taman Laut Pulau Perhentian. Foto Baharom Bakar
Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


Empat lelaki termasuk seorang remaja diberkas, manakala dua lagi masih diburu bagi membantu siasatan kes pengeboman ikan di kawasan Taman Laut Pulau Perhentian, Kuala Terengganu semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zawawi Ali, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Isnin lalu, Jabatan Perikanan dan Jabatan Taman Laut Daerah Besut menerima aduan daripada beberapa pengusaha chalet di pulau peranginan itu yang terdengar bunyi dentuman bom di kawasan Taman Laut berkenaan.

Katanya, pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Perikanan dan Jabatan Taman Laut Besut yang berkejar ke lokasi kejadian selepas menerima laporan itu kemudian menemui ratusan spesis ikan timbul di permukaan air.

“Selepas penyelaman ke dasar laut dilakukan, kita mendapati pelbagai spesis ikan bermutu tinggi ditemui mati dan tersangkut pada terumbu karang. Empat lelaki terbabit kini ditahan untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya pada sidang media di Jabatan Perikanan negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata, empat lelaki terbabit diberkas dalam tiga serbuan berasingan oleh polis sehari selepas Jabatan Perikanan dan Jabatan Taman Laut Besut membuat laporan mengenai kes pengeboman ikan di kawasan itu, kira-kira jam 9.40 pagi, Selasa lalu.

Beliau berkata, dua termasuk seorang remaja berusia 18 tahun ditahan di gerai ikan di Kampung Lampu, kira-kira jam 11 pagi, manakala seorang lagi ditahan ketika menyerah diri di pejabat Taman Laut daerah Besut, kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Katanya, seorang lelaki dipercayai pemborong ikan turut ditahan di rumahnya di Kampung Air Tawar, Jertih, Besut, kira-kira jam 2 petang.

Hasil soal siasat dilakukan pihak polis, beliau berkata, dua lagi lelaki dipercayai turut terbabit dalam kegiatan pengeboman ikan di kawasan Taman Laut itu dan mereka sedang diburu polis.

“Empat lelaki dan dua lagi rakannya yang masih menjadi buruan polis masing-masing dari Besut dan Tok Bali, Pasir Putih, Kelantan, disyaki melakukan pencerobohan untuk menangkap ikan cara mudah dengan meledakkan bom kira-kira jam 11 pagi, Isnin lalu,” katanya.

Ketika mengulas mengenai kemusnahan terumbu karang berikutan kejadian itu, Zawawi berkata, siasatan mendapati tiada kemusnahan pada terumbu karang, sebaliknya terumbu karang di kawasan Taman Laut berkenaan kurang sihat disebabkan kejadian ribut tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 4:16 PM