ANGGOTA PPM Pengkalan Kubor memeriksa Proton Saga yang diubah suai untuk penyeludupan minyak. FOTO ihsan PPM Pengkalan Kubor
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my


SEORANG lelaki tempatan berusia 30-an ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana memiliki 240 liter petrol di dalam tangki yang diubah suai di Kampung Simpangan, Tumpat, semalam.

Dalam operasi jam 11 pagi itu, lelaki terbabit ditahan ketika sedang memandu Proton Saga.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad, berkata hasil pemeriksaan menemui 240 liter petrol di dalam tangki kenderaan yang sudah diubah suai.

“Kita percaya tangki kereta itu diubah suai untuk menyimpan petrol dari stesen minyak sekitar Pengkalan Kubor sebelum diseludup menggunakan bot galah.

“Difahamkan lelaki terbabit sudah lama menjalankan kerja menyeludup minyak ke negara jiran.

“Dia ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan barang rampasan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Rudzuan berkata, pihaknya turut membuat serbuan di sebuah garaj kenderaan di Kampung Tebing, Tumpat pada jam 7 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan kita menemui 18 tong jerikin dengan setiap satunya mengandungi 30 liter diesel.

“Selepas menunggu lebih 20 minit, tiada pihak yang datang menuntut dan kami merampas semua tong berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 9:00 AM