Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran dua pegawai kanannya yang berkuatkuasa 17 Jun ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad berkata, pertukaran itu membabitkan Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dan Ketua Polis Pahang Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad.

“Huzir yang berpangkat Komisioner Polis (CP) dilantik mengetuai JSJ Bukit Aman dengan menjawat jawatan pengarah.

“Mohd Zakaria juga berpangkat Komisioner Polis dilantik mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan menjawat jawatan pengarah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman dipangku oleh Huzir, 57, selepas pengarahnya Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd bersara pada 13 Mac lalu.

Jawatan Pengarah JSJK Bukit Aman kosong selepas pengarahnya Datuk Mazlan Mansor dilantik Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara secara rasmi 17 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 12:57 AM