Pelanggan yang membeli set ayam menerima sebotol minyak masak percuma.
Nabihah Kamal
am@hmetro.com.my


BELI ayam goreng, percuma minyak masak.

Itu yang ditawarkan tiga sahabat dalam mencari kelainan berniaga di lapan bazar Ramadan sekitar Lembah Klang.

Menurut pengusaha Familia Fried Chicken, Muhammad Nazmi Jamil, 27, dia bersama dua rakan niaganya, Izzat Azar, 27 dan Luqman Hafiz Azman, 27, bekerjasama dengan pengeluar minyak masak tempatan untuk merealisasikan kelainan itu.

“Kami bekerjasama dengan jenama minyak masak tempatan, ALIF.

“Hampir 6,000 botol minyak masak 500 mililiter diberikan secara percuma kepada pelanggan.

“Setiap pembelian satu set Familia Fried Chicken yang berharga RM10, dapat sebotol minyak masak ALIF,” katanya ditemui di bazar Ramadan Taman Melawati, Kuala Lumpur, hari ini.

Muhammad Nazmi berkata, inisiatif yang dilakukan itu juga untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kualiti serta khasiat minyak masak yang digunakan.

“Kami ingin memberi kesedaran kepada orang ramai supaya teliti dengan pemilihan minyak masak seperti pilih minyak masak yang bebas kolestrol.

“Kami memilih untuk menggoreng dengan menggunakan minyak masak ALIF yang diperkaya dengan vitamin E.

“Selain itu, kami tidak memakai minyak masak berulang kali demi menjaga kualiti,” katanya.

Sementara itu, pelanggan, Siti Zarina Samsul, 32, berkata, dia tidak menyangka dapat minyak masak percuma ketika membeli set ayam goreng di gerai itu.

“Saya ingat anak muda ini main-main, sebab jika nak dibandingkan dengan harga ayam goreng yang saya beli hanya RM10, dapat pula minyak yang harganya antara RM3 hingga RM4.

“Memang berbaloi apatah lagi resipi baru mereka ayam goreng dengan sos keju dan telur masin memang menjadi kegemaran anak saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 11:12 PM