Antara dadah yang dirampas polis daripada dua lelaki. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


DUA lelaki berusia 27 dan 29 tahun diberkas polis sebelum dadah bernilai RM36,407 dirampas dalam sebuah kenderaan di belakang rumah kedai di Seremban 2 semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Pang Jin Lai berkata, dalam serbuan 9.40 malam itu, pihaknya merampas syabu 232.1 gram (g), 7.61g ketamin, pil Ectasy (2.98g) dan Eramin 5 (5.58g).

Katanya, pihaknya turut menyita Perodua Myvi, Toyota Vios, wang tunai dan dua jam tangan bernilai RM124,950.

“Berdasarkan risikan, dua lelaki ini disyaki pengedar dadah dan membekalkan bahan larangan itu kepada pengunjung pusat hiburan di Seremban.

“Tindakan proaktif dijalankan polis berjaya memberkas kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Pang, ujian air kencing mendapati dua suspek itu positif dadah dan direman tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan sama, Pang berkata, nilai sitaan aset terhadap pengedar di negeri itu berjumlah RM2.8 juta untuk tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 7:12 PM