Laporan portal berita Harian Metro hari ini
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengarahkan sebuah premis yang menyediakan makanan sehingga menyebabkan penuntut Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR ) di Alor Setar mengalami keracunan makanan ditutup serta-merta.

Pengarahnya Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, arahan penutupan 14 hari itu dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan untuk pembersihan dan siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati nasi dan lauk ayam yang tidak habis dijual dihantar ke institusi berkenaan untuk 150 pelajar pada 11 malam dan dimakan pelajar pada 12 tengah malam.

“Setakat ini kita dapati punca keracunan kemungkinan disebabkan lauk ayam yang tidak dimasak dengan sempurna.

“Seramai 31 penuntut berusia antara 18 hingga 23 tahun yang mengalami gejala sakit perut dan cirit birit sudah menerima rawatan pesakit luar, mereka terdiri 15 pelajar perempuan 16 pelajar lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang rosak.

Hari ini lebih 40 pelajar IQDAR mengalami gejala keracunan makanan selepas menikmati nasi arab lauk ayam yang disumbangkan sebuah restoran malam tadi.

Mereka mengalami gejala sakit perut dan cirit-birit selepas sejam makan makanan itu dan separuh daripada mereka dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah kerana mengalami simptom yang agak teruk.

Berita berkaitan

'Aduh, sakitnya perut...'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 6:52 PM