MOHD Pudzi Man pada sesi pendengaran awam RCI penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis mendakwa tidak membuat sebarang serbuan atau tangkapan kerana hanya mempunyai maklumat yang samar-samar berkaitan kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia di Wang Kelian.

Saksi ke-29, Datuk Mohd Pudzi Man yang juga bekas Pengarah Kastam Perlis ketika prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem dan kubur di Wang Kelian, Perlis berkata, maklumat yang mereka peroleh amat sedikit dan tidak jelas walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan.

“Pegawai-pegawai pun sudah didesak supaya mencari lebih maklumat tetapi tidak berjaya.

“Sepanjang bertugas di Perlis dari tahun 2011 hingga 2016, maklumat berkaitan kegiatan pemerdagangan manusia memang sukar didapati; kalau ada pun samar-samar,” katanya di hadapan enam panel RCI di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu saksi ke-30 Mohd Amir Othman berkata, Jabatan Imigresen sukar untuk dapat maklumat daripada PATI (pendatang asing tanpa izin) kerana mereka seolah-olah diajar cara jawab dan bersubahat dengan tekong.

Beliau berkata, mereka diajar cara bercakap ketika siasatan dilakukan.

Katanya, andaian itu berdasarkan jawapan mereka semuanya hampir serupa.

“Mereka kata datang sini selepas membayar upah kepada sindiket di sebelah sana sebelum masuk Malaysia dan secara sukarela, bukan dipaksa,” katanya di hadapan enam panel pada hari ke-10 prosiding RCI.

Panel itu dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 6:40 PM