JKM mencari keluarga bayi lelaki ini segera. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) memohon bantuan orang ramai mengesan ibu kandung bayi yang ditinggalkan di sebuah pondok bas di Felda Jerangau, Dungun bulan lalu.

Pegawai JKM Daerah Dungun, Mohd Naufal Yusoff berkata, bayi lelaki berusia sebulan itu ditemui penduduk kampung 21 April lalu dalam keadaan dibalut dengan tuala.

Menurutnya, bantuan orang ramai mengesan ibu bayi terbabit sangat penting dalam usaha membantu JKM menjalankan siasatan bagi tujuan penempatan dan kebajikan bayi lelaki itu.

“Bayi itu kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu dan berada dalam keadaan sihat.

“Kita minta kerjasama pihak yang mengenali ibu bayi terbabit supaya menghubungi Pegawai Pelindung Daerah Dungun, Akmarizah Mat Yusof di talian 09-8481205/09-8445824,” katanya.

Sebelum ini, pengusaha kedai makan terkejut selepas menemui bayi itu yang sudah kebiruan akibat menangis terlalu lama di pondok menunggu bas di Felda Jerangau.

Bayi yang dipakai baju dan seluar itu ditemui dalam keadaan menggigil kesejukan dengan bahagian seluarnya dipenuhi najis sebelum dihantar ke klinik kesihatan berhampiran.

Polis yang menerima laporan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 6:40 PM