Penguat kuasa JKM memeriksa dokumen pengemis dalam Operasi Khas Menyelamat Orang Papa Ramadan di Kuala Terengganu. FOTO Ihsan JKM
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


SIKAP pemurah masyarakat beragama Islam sepanjang Ramadan ini antara faktor segelintir pengemis berani mengemis secara terbuka di beberapa lokasi tumpuan ramai di Terengganu.

Selain selamba mengemis di lokasi tumpuan ramai seperti bank, pasar raya dan bazar Ramadan, ada pengemis juga dikesan meletakkan tabung di sudut tertentu dalam tempoh antara tiga hingga empat jam sebelum mengambil wang di dalamnya.

Keberanian golongan pengemis itu terbukti apabila 18 pengemis dengan 11 daripadanya warga asing ditangkap melalui Operasi Khas Menyelamat Orang Papa Ramadan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu sejak 6 Mei lalu.

Pengarah JKM Terengganu, Zuhaimi Omar berkata, semua pengemis terbabit ditahan di beberapa lokasi tumpuan antaranya di tapak bazar Ramadan dan di hadapan bank di negeri itu.

“Empat daripada 18 pengemis yang ditahan adalah warga Myanmar kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri seterusnya dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, tujuh lagi pengemis adalah orang tempatan dan sembilan pengemis Rohingya yang juga pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) diberikan kaunseling dan amaran supaya tidak meneruskan kegiatan itu.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 2 Akta Orang Papa ketika meminta sedekah di tempat tumpuan awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zuhaimi berkata, selain menunggu bersama tabung derma, ada juga bertindak meletakkan tabung mereka di hadapan bank dan meninggalkannya untuk tempoh beberapa jam sebelum datang mengutip hasil derma dengan kebanyakannya dilakukan pengemis Thailand.

Katanya, pengemis dewasa biasanya wanita akan bersama kanak-kanak bertujuan meraih simpati dan situasi itu boleh dilihat di sekitar bank, pasar raya dan bazar Ramadan.

“Operasi ini akan diteruskan sepanjang masa bagi memastikan kegiatan mengemis ini tidak berleluasa di Terengganu terutama di kawasan tumpuan awam sepanjang Ramadan.

“Beberapa lokasi utama yang diberi tumpuan dan sentiasa dipantau ialah bazar Ramadan di Kemaman, Pasar Tani Jertih, Besut di kawasan pusat bandar dan bank di seluruh daerah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 6:18 PM