Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


“KAMI terharu dan sebak kerana pelbagai agensi kerajaan terutama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membantu urusan menguruskan proses mendapatkan pasport antarabangsa Ainul Mardhiah,” kata bapa bayi perempuan berusia lapan bulan yang menghidap kanser ‘Germ Cell Tumor’, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24.

Hasrat Ahmad Safiuddin dan isterinya, Nurul Erwani Zaidi, 24, serta jutaan rakyat Malaysia untuk membawa Ainul Mardiah mendapatkan rawatan di London semakin terlaksana selepas pasport antarabangsanya diserahkan kepadanya, hari ini.

Dokumen berkenaan diserahkan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport JIM Putrajaya Datuk Mohd Zulfikar Ahmad di sebuah kediaman di Shah Alam.

Ahmad Safiuddin berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk membawa anak kesayangannya itu bagi mendapatkan rawatan kanser sehingga ke luar negara.

“Namun, apa yang menguatkan semangat saya adalah rakyat di negara ini yang banyak mendoakan dan menghulurkan sumbangan. Ia amanah untuk melakukan sesuatu yang terbaik untuk Ainul Mardhiah.

“Jauh di sudut hati saya mengharapkan agar pembedahan yang dirancang di London ini berjaya tanpa mengakibatkan kerosakan di bahagian lain namun semuanya adalah ketentuan Allah,” katanya.

Menurutnya, tarikh penerbangan masih belum diketahui kerana ia sedang diuruskan oleh Dr Nur Amalina Che Bakri yang bertanggungjawab sebagai pengantara dengan pihak hospital di London.

“Saya mengharapkan secepat mungkin kerana semua dokumen sudah ada dan saya difahamkan nama Ainul Mardhiah juga sudah didaftarkan sebagai pesakit di hospital berkenaan, namun nama hospital itu masih dirahsiakan sehingga pembedahan dijalankan.

“Selain itu, penginapan di sana juga sudah diuruskan dan ketika penerbangan juga, kami akan diiringi doktor sehingga pesawat mendarat seterusnya dibawa terus ke hospital,” katanya.

Ahmad Safiuddin berkata, dia difahamkan kos pembedahan dianggarkan hampir RM1 juta dan jumlah berkenaan tidak termasuk kos rawatan susulan yang diperlukan Ainul Mardhiah.

“Kami masih memerlukan sumbangan orang ramai dan hanya Allah SWT yang dapat membantu jasa jutaan rakyat Malaysia yang sudah membantu sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zulfikar berkata, usaha dilakukan JIM terhadap Ainul Mardhiah bukan pertama kali dilakukan oleh agensi berkenaan.

“Kita kategorikan sebagai kes kecemasan di mana pesakit kanser memerlukan rawatan segera di luar negara.

“Harapan kita adalah mahu melihat Ainul Mardhiah dapat menjalani pembedahan dengan selamat serta kembali sihat seperti sedia kala,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 2:50 PM
    MOHD Zulfikar (dua kiri) menyerahkan pasport antarabangsa kepada Ahmad Safiuddin untuk membawa Ainul Mardhiah menjalani rawatan di United Kingdom. FOTO Roslin Mat Tahir