BERUANG anjing yang terlepas daripada perangkap berjaya ditangkap semula PerhilitanTerengganu, Sabtu lalu.
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menangkap semula seekor beruang anjing yang terlepas daripada perangkap dipasang di Kampung Jambu Bongkok, Marang di sini, Sabtu lalu.

Kejayaan Perhilitan itu menyebabkan penduduk kampung tidak lagi berasa bimbang dengan ancaman haiwan liar berkenaan.

Pengarah Perhilitan negeri Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, pihaknya memasang perangkap berkenaan susulan aduan daripada penduduk mengenai kemunculan beruang berkenaan.

Katanya, penduduk mendakwa beruang anjing berkenaan mula disedari berkeliaran di penempatan itu sejak April lalu.

Beliau berkata, Sabtu lalu pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung memaklumkan beruang itu memasuki perangkap iaitu selepas seminggu dipasang.

“Namun, ketika dalam perjalanan ke lokasi, kami menerima panggilan memaklumkan beruang itu berjaya melepaskan diri.

“Beruang itu mungkin ketakutan melihat orang ramai lalu bertindak agresif dengan menggoncang perangkap selain menggigit dan menarik besi perangkap hingga tercabut,” katanya.

Menurutnya, susulan itu pihaknya memasang semula perangkap sangkar besi di lokasi berkenaan pada hari yang sama.

“Perangkap itu dipasang pada sebelah petang dan beruang itu masuk perangkap pada malam hari yang sama.

“Hasil pemeriksaan kita yakin ia beruang sama yang terlepas sebelum berdasarkan kesan luka pada badan haiwan itu.

“Selepas diberi rawatan dan melakukan pemeriksaan haiwan itu disahkan sihat. Beruang itu dilepaskan ke Taman Negara, semalam (kelmarin),” katanya.

Sebelum ini, penduduk di Kampung Jambu Bongkok, Marang, ketakutan selepas seekor beruang anjing seberat 100 kilogram yang terperangkap dalam sangkar besi dipasang Perhilitan Terengganu berjaya melepaskan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 6:10 AM